Selasa, 2 November 2010

Generasi Muslim Mesti Menimba Ilmu, Beriman Untuk Berjaya

Generasi Muslim Mesti Menimba Ilmu, Beriman Untuk Berjaya.

Setiap tahun ramai pelajar lepasan SPM, STPM dan Kolej Matrikulasi mengikuti pelbgai program pengajian pada peringkat diploma dan ijazah pertama di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di negara ini.

Namun disebalik kejayaan anak-anak ini, pelbagai cerita yang tidak enak didengar. Ada masalah mahasiswa ponteng kuliah, tidak menghormati pensyarah, merokok, dadah suka berfoya-foya. Ada mahasiswa yang hanya bertudung ketika dikampus tetapi tidak diluar. Kebanyakan mereka yang bermasalah ini adalah Melayu Islam.

Ada yang sudah tidak mendengar nasihat ibu bapa, menganggap diri sudah besar dan angkuh dengan status sebagai mahasiswa. Mempunyai sikap keras kepala, tidak menghormati orang tua dan sudah pandai menipu keluarga bila ditanya mengenai kehidupan di kampus. Malah ada yang terjebak dengan aktiviti jenayah. Mengapakah perkara ini berlaku?

Jika ditinjau bangsa lain seperti pelajar Cina dan India yang berada di IPT, mereka amat menghargai serta tidak akan mensia-siakan peluang yang diberi. Mereka tekun belajar, menumpukan sepenuh perhatian, tidak suka membuang masa, menubuhkan kumpulan belajar masing-masing, rajin bertanya pensyarah dan rajin mencari rujukan tambahan berbanding pelajar Melayu.

Hari ini ramai kita lihat orang Islam yang mengamalkan agama Islam hanya setakat bersembahyang, puasa, haji dan sebagainya. Agama hanya dilihat sebagai perbuatan yang perlu dilakukan sedangkan agama Islam adalah suatu cara hidup yang perlu diterapkan di dalam kehidupan. Mungkin sebab itu kita lihat mahasiswa kurang agamanya dari segi sikap dan tingkah lakunya.

Ibu bapa dan pendidik juga perlu bekerjasama bagi memastikan banyak bahan bacaan berunsur agama dekat dengan remaja. Anak muda lebih gemar membaca majalah hiburan, berita sensasi artis, serta bahan bacaan ringan yang tidak memerlukan daya untuk berfikir. Remaja islam perlu didedahkan dengan watak Salahuddin al-Ayubi, Abdul Rahman bin Auf dan sebagainya…

Umat islam juga kurang berfikir. Mereka hanya menerima ilmu namun kurang berfikir, mentafsir serta memahami apa yang dibaca. Akibatnya, timbul budaya “kakak tua” yang hanya meluahkan apa sahaja yang dipelajari tanpa mengemukakan pendapat sendiri. Budaya ini amat ketara di IPT. Kebanyakkan mereka ini amat suka pensyarah yang menyuapkan segala maklumat kerana mereka tidak perlu bersusah-payah mencari bahan.

Apabila kurang berfikir, maka mereka mudah terikut-ikut. Ini mungkin kerana didikan ketika kecil, kita selalu dilarang oleh orang tua-tua untuk banyak bertanya sedangkan pakar kanak-kanak mengatakan anak sepatutnya digalakkan bertanya. Soalan yang ditimbulkan oleh anak menunjukkan mereka sedang berfikir dan ia satu proses yang positif.

Sebagai orang Islam, kita digalakkan bukan hanya membaca al-Quran tetapi memahami isi kandungannya. Apabila paham maksud ayat barulah boleh berfikir dan menterjemahkannya dalam kehidupan. Tetapi masyarakat membaca al-Quran hanya untuk khatam dan mengadakan majlis besar-besaran, ataupun untuk mendengar suara paling merdu apabila membaca al-Quran.

Cabaran dari luar terhadap remaja juga tidak kurang hebatnya. Mereka “diserang” dari semua arah, media elektronik dan cetak. Anak terdedah dengan pelbagai budaya di luar batasan agama umpamanya televisyen memaparkan wanita tidak bertudung dengan fesyen pakaian mengghairahkan serta adegan bergaduh dan hasad dengki.

Paling malang, semua pelakonnya adalah Melayu Islam. Jadi bagaimana kita hendak mengharapkan remaja menyemai fikrah Islam sebenar???

Ramai mahasisw hari ini lebih tertumpu kepada soal mendapatkan pekerjaan yang baik selepas tamat belajar. Mereka lebih memikirkan hal pangkat, jawatan dan tangga gaji. Tidak guna segulung ijazah jika sikap dan perangai tidak mempamerkan nilai murni seorang Islam.